السلام عليكم

السلام عليكم
salam perkenalan....moga pertemuan ini deberkati olehNya..

Saturday, September 25, 2010

Apa erti SAYA menganut ISLAM ..........bahagian 1

Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah

Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang
mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan
tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan
sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orangorang
Islam terdahulu yang terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam
penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka.
Mereka ini mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.
Bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam akidah maka saya mestilah beriman
dengan perkara-perkara berikut:
1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha
Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan
sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam ini yang penuh dengan keindahan,
kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara juzuk dengan
juzuk yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan
sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha
Kuasa. Firman Allah s.w.t:
Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya
rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah
dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa
yang mereka sifatkan. (Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)
2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Mada Mulia tidaklah mencipta segala
kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah
yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia.
Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan
sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan
wahyu dari Allah s.w.t sendiri. Firman Allah s.w.t:
Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu
(dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan
kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan
yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang
Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang
mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)
3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul- rasul
dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya
mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul
mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul
terakhir dari kalangan Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w
yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang
berkekalan. Firman Allah s.w.t:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang
Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu
menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima
seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang
berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian
lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasulrasulnya.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)
4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah
'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya, memberi
penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki
sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya
mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang
Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang
Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh
kekuasaanNya. (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)
5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada
Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api
neraka. Allah menjelaskan:
"....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka." (Surah Al-Syura 42:
Ayat 7)
6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan dan
kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian
kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan dengan taufik dan
'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari
Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya. Firman
Allah s.w.t:
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan
yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan
yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih
bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya
hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan
terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah al-Syams 91:
Ayat 7-10)
Dan firman Allah s.w.t;
Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang
dikerjakannya. (Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).
7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang- undang itu adalah
hak mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau
membelangkanginya. Apa yang dibolehkan ialah ilmuan Muslim atau para ulama'
berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas
yang diizinkan. Firman Allah s.w.t:
Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua
perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya
terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku;
kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam
segala keadaan). (Surah Al-Syura 42: Ayat 10)
8. Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak
bagi kemuliaanNya. Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Allah s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus.
Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal) dan
menyukai (bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
9. Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan
memikirkan tentang ZatNya sebagai mengikuti dan mentaati perintah Rasulullah
s.a.w:
"Berfikirlah kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu
memikirkan tentang ZatNya kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan
sebenarnya."
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan Al-Asbahani
meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)
10. Berhubung dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran
Al-Karim yang membuktikan kesempurnaan ketuhana(UluhiyyahNya). Kita
dapati beberapa ayat Al-Quran membuktikan kewujudan Allah, sifat baqa'
(kekal), sifat qadim (sedia ada), sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak
mempunyai anak, tidak ada yang menandingiNya. Kita juga menemui ayat-ayat
yang menunjukkan Tuhan itu wujud dengan sendirinya, Maha Kaya dari segala
makhlukNya dan makhluk berhajat berhajat kepada kebesaranNya. Demikian juga
kita menemui ayat-ayat yang menunjukkan keEsaan Allah pada ZatNya, sifatsifatNya
dan perbuatanNya, kekuasaanNya, keagunganNya dan keluasan ilmuNya
ke atas sesuatu. Kita temui lagi ayat-ayat yang menunjukkan iradah Allah
mengatasi segala iradah yang lain dan Allah itu bersifat hidup yang penuh dengan
kesempurnaan.
Selain dari sifat-sifat yang disebut tadi, masih banyak lagi ayat-ayat yang
menerangkan sifat-sifat kesempurnaan lain bagi Allah s.w.t yang tidak tercapai
oleh daya pemikiran manusia yang terbatas, tentang hakikat sebenarnya. Maha
Suci Allah, kita tidaklah dapat membataskan pujian kita terhadapNya
sebagaimana memuji dirinya sendiri.
11. Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah lebih
utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan tentang penta'wilan
dan pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran, yakni membiarkan sebahagian
dari sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar
mengenai maknanya kepada Allah s.w.t.
Saya juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah ayatayat
tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan sebab
kepada perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai timbul kembali
perbalahan di antara golongan khalaf di masa lampau mahupun masa kini.
12. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata- mata tidak
menyekutukan dengan yang lain. Ini saya lakukan kerana menyahut seruan Allah
dan RasulNya yang menyeru manusia supaya mengabdikan diri hanya kepada
Allah semata- mata dan tidak tunduk kepada sesuatu selain Allah. Amaran ini jelas
dalam firman Allah s.w.t:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang
Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu
menyembah Allah dan jauhilah taghut. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)
13. Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain.
Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah
dan larangan-laranganNya.
Allah s.w.t menjelaskan:
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah
Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah
orang-orang yang beroleh kemenangan. (Surah Al- nur 24: Ayat 52)
Firman Allah s.w.t seterusnya:
Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa
mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka
beroleh keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Mulk 67: Ayat 12)
14. Saya mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya untuk
menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap
adalah kerana berzikir. Ini paling mujarab untuk jiwa dan senjata paling ampuh
untuk menghadapi serangan-serangan zaman ini, pancaroba kehidupan serta asam
garamnya. Inilah penawar yang sangat diperlukan oleh manusia zaman ini.
Sungguh benar peringatan Allah yang menyatakan:
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
"zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati
manusia.(Surah Al-Ra'ad 13: Ayat 28)
FirmanNya lagi:
Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan
oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang
menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang
tidak renggang daripadanya. 37- Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap
menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa
mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. (Surah Al- Zukhruf 43:
Ayat 36-37).
Dr. Briel sendiri mengakui kenyataan ini dengan menegaskan "sesungguhnya
orang-orang yang berpegang teguh dengan agama, ia tidak akan dihinggapi
penyakit jiwa. Manakala seorang pakar jiwa Dr. Riel Karienji menyatakan:
"Sebenarnya para doktor penyakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh
dan pegangan yang teguh terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu
jaminan untuk menyembuhkan mereka darri penyakit gelisah, tegang perasaan,
penyakit saraf dan lain- lain.
15. Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang
menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya. Kecintaan itu
juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan
berjihad di jalannya di sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan
keseronokan dunia serta kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak
sepatutnya menghalang saya dari mencintai Allah. Ini adalah sejajar dengan
seruan Allah yang mengingatkan:
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan
saudara-saudara kamu dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum
keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu
bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika
semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan
RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga
Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan
memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka). (Surah Al-Taubah 9:
Ayat 24)
Pengorbana demikian saya lakukan adalah untuk dapat merasai kelazatan dan
kemanisan iman seperti yang disyaratkan oleh Rasul yang mulia s.a.w:
"Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman:
a. Jika ia mencintai Allah dan rasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain.
b. Jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah.
c. Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk
memasuki api neraka.
1. Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan
menyandarkan setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal inilah yang
membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa dan diri saya yang
menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah. Sifat ini menepati
seruan Allah s.w.t:
"....sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya
(untuk menolong dan menyelamatkannya). (Surah Al- Talaq 65: Ayat 3)
Lihat betapa indahnya pesanan Rasulullah s.a.w untuk kita, di dalam sebuah
hadisnya:
"Peliharatitah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang
masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu di hadapanmu.
Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila
kamu engkau memohon hendaklah engkau memohon petolongan dari Allah.
Ketahuilah, seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat
untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah
Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau
dengan sesuatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan
dengaan sesuatu yang Allah Taala telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah
terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan kesemuanya)."
2. Saya mestilah mensyukuri nikmat- nikmatnya ke atas diri saya yang merupakan
kurniaan dan rahmat yang tidak terhitung jumlahnya. Bersyukur itu adalah satu
dari tanda kemuliaan adab seseorang penerima terhadap pemberi dan pengurnia.
Allah menyatakan:
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak
mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan
penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Nahl 16:
Ayat 78)
Seterusnya Allah berfirman:
Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan
kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya
biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan kami jadikan di
bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa
mata air, 35- Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang
dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?. (Surah
Yasin 36: Ayat 33-35)
Sebenarnya Allah s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada orang-orang
yang bersyukur dan mengugut akan menambah kerugian terhadap golongan yang
ingkar. Firman Allah:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
(Surah Ibrahim 14; Ayat 7)
3. Saya mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah, istighfar
itu dapat membersihkan diri dari dosa di samping memperbaharui taubat dan
iman. Istighfar juga dapat memberikan kerehatan dan keheningan kepada jiwa.
Allah berfirman:
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan
melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia
akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Nisa'
4: Ayat 110)
Firman Allah seterusnya:
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya
diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa
mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan
Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah
lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah
Ali-'Imran 3: ayat: 135)
4. Akhir sekali saya juga mestilah sentiasa bermuraqabah (merasai berada di bawah
pengawasan) dengan Allah s.w.t dalam keadaan terang mahupun tersembunyi
kerana mengingatkan firman Allah:
Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan
tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada
yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada
bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan
memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-
Mujadalah 58: 7)

Monday, September 20, 2010

DARI MANA KITA DATANG?MENGAPA KITA DIJADIKAN?KEMANA KITA KEMBALI?

1."Wahai manusia jika kamu ragu tentang kebangkitan pada hari kiamat, maka (ketahuilah) sesungguhnya kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air mani, kemudian dari seketul darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan tidak kepada kamu (kekuasaan kami) dan kami letakkan diperanakan (di dalam rahim) apa yang kami kehendaki sehingga satu masa tertentu, kemudian kami keluarkan kamu sebagai anak, kemudian (kami pelihara) sehingga kamu sampai tegap teguh, dan sebahagian dari kamu dikembalikan kepada usia yang paling lanjut supaya ia tidak tahu apa2 lagi sesudah ia tahu"
Al-Haj 5
2."Aku tidak jadikan jin dan manusia itu melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada ku"
Al-Dzariyat 56
3"Allah mencipta manusia dari permulaan, kemudian mengembalikannya (menghidupkannya) kembali, kemudian kepadanyalah kamu di kembalikan"
Ar-Rum 11

MEMBAWA DIRI MENDEKATI SANG PENCIPTA

"BAHKAN SIAPA YANG MENYERAH DIRI KEPADA ALLAH SEDANGKAN DIA BERLAKU BAIK, MAKA BAGINYA GANJARAN DISISI TUHANNYA DAN TIDAK ADA TAKUT BAGINYA DAN MEREKA TIDAK BERDUKA CITA"
(AL-BAQARAH 112)